Ahad, Disember 28, 2008

Doa Akhir dan Awal Tahun

Doa Awal Tahun & Doa Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun

(Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah - Ahad 30 Zulhijjah 1429H bersamaan 28 December 2008)

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Maksud Doa Akhir Tahun:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.



Doa Awal Tahun

(Doa awal tahun dibaca 3 kali selepas Maghrib - Isnin 1 Muharam 1430H/ 29 Decmber 2008)

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, Insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.


Maksud Doa Awal Tahun:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.





MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

.
Peristiwa-peristiwa penting:

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.



Marilah kita sama-sama “ Memartabatkan Islam”.

Wassalam.

Permainan Minda Matematik

Sabtu, Disember 27, 2008

Salam Ukhwah Buat Semua...

Rabu, Disember 17, 2008

Bercuti di Sarawak



Tempat ni namanya Serikin (terletak di sempadan Sarawak dan Indonesia). Setiap sabtu dan ahad ada banyak gerai dibuka (macam pasar lambak - kalau di Johor). Luas(panjang) kawasannya. Tak puas meninjau dalam masa 3 jam. Banyak menjual barangan dari Indonesia. Agak murah berbanding di Semenanjung. Jangan lupa berkunjung jika anda ke Sarawak.



Di Terminal Penumpang (Bot) Sibu...besar...macam di terminal bas kalau kat semenanjung.Bot-bot adalah untuk perjalanan ke kawasan pedalaman seperti kapit. Besarnya bot boleh memuatkan sehingga 150 penumpang atau lebih. Kerusi juga agak selesa (jgn terkejut kalau saya kata macam tempat duduk dalam AirAsia)serta berhawa dingin!




Bersama Kak Yah di depan Pintu Gerbang Sibu. Mercu tanda Bandar Sibu. Jauh perjalanan Kuching ke Sibu lebih kurang 450km (kalau tak silap). Mengambil masa lebih kurang 8 jam perjalanan dgn kelajuan 100km sejam. Sepanjang jalan yang berliku bak ular dipalu.



Hari terakhir...sempat juga berposing kat replika 'Kuching' bersama Hakimi. Terletak ditengah2 bandaraya Kuching.


Kembali bersua...

Alhamdulillah... tenang sikit fikiran dan lapang dada selepas bercuti selama seminggu di Sarawak. Benar-benar saya merasakan 'cuti' tanpa memikirkan apa-apapun tentang sekolah...tugasan...e-mail...dan lain-lain. Selama seminggu berada di Sarawak (8 - 16 disember) apa yang saya buat hanya makan..tidur....menonton tv...dan berjalan-jalan...emmm shopping pun tidak tau...cuma window shopping jer.. he..he


Sebenarnya saya ke Sarawak tu cuma mengikut kakak saya dan suaminya. Mereka ada hal untuk diuruskan. Turut sama Muhd Hakimi, cucu saudara saya merangkap cucu sulong kepada kakak. Kami menginap di rumah anak saudara (Mohd. Saddeq) di Taman BDC, Stampin.


Hai...entah bila lagi saya akan dapat menjejakkan kaki ke sana. Kedatangan kali inipun selepas 19 tahun meninggalkan bumi kenyalang itu.
Dulu saya pernah menginap di sana selama 6 bulan kerana menjadi pengasuh anak saudara...sekadar mengisi masa selepas menamatkan diploma sementara menunggu masa menyambung ke peringkat ijazah.

Sarawak...tunggu kedatanganku lagi...

Isnin, Disember 01, 2008

Ambillah......walau sedikit

Untuk renungan bersama..............



"Akal ialah anugerah Tuhan kepada makhluk yang dipilihNya, iaitu manusia. Akal tidak diberikan semata-mata. Ia perlu dibimbing. - HAMKA"

Justeru....

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikanTuhan.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan jiwa.
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.


Sekadar peringatan buat diriku yang sering lupa....


Ahad, November 30, 2008

Selamat Tinggal November

Masa.....begitu cepat ia berlalu....

Tanpa disedari sudah dua minggu cuti persekolahan bermula, tapi bagi saya belum dapat merasa cuti sepenuhnya. Sepanjang dua minggu yang lalu saya masih ke sekolah menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Bukanlah saya sengaja tidak menyiapkannya sebelum cuti, sebaliknya tugasan itu hanya boleh disiapkan selepas segala data diperolehi dan kemudian diedit, dikemaskini seterusnya diperbaiki dan barulah siap untuk lapuran. Maklumat tersebut (dipanggil Laporan Headcount) perlu disediakan sebelum sesi persekolahan akan datang.

Esok, saya perlu bertugas di sekolah sebab esok kertas Prinsip Perakaunan. Meskipun tahun ini saya tidak mengajar mp tersebut, namun sebagai ketua panitia saya rasa risau juga dengan pencapaian 5 orang pelajar yang mengambil mp tersebut. Mereka tidak belajar secara khusus di sekolah sebaliknya belajar sendiri dan mengambil tuisyen di luar. Harap2 mereka dapat jawab dengan baik seterusnya lulus dengan cemerlang. Semalam dan hari sebelumnya pun saya dah luangkan 4 jam sehari untuk memberi tuisyen salah seorang pelajar berkenaan. Oleh kerana beliau dari kelas sains, maka tidak sukar bagi saya memberi tunjuk ajar. Mulanya cuak juga sebab masa peperiksaan percubaan tempohari beliau gagal. Tapi semasa saya mengajar kelmarin, nampaknya dia dapat menerima ajaran saya dengan mudah. Zulaikha, saya yakin awak boleh. Di mana ada keyakinan, di situ ada kejayaan. InsyaAllah.

Hari ini cadangnya nak pergi jemputan di Felda Sg Sayong, Kulai. Jauh tu.. harap2 tak ada aral. Sejak akhir2 ni selalu sangat kena migrain. Hari tu dah pi check tekanan darah, everythings okay. Takut jugak sebab dulu tu selalu migrain sebab rupa2nya tekanan darah rendah...uhuk..uhuk penyakit warisan ibuku... Tapi tak kisahlah...ada jugak kenang-kenangan daripada aruah mak.... Semoga aruah ibu dan bapaku tenang di sisiNya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua. Amiiin ya rabbal alamin..

Isnin, November 24, 2008

Trip ke Tg Balai, Indonesia.

Assalamualaikum...

Semalam 23 November, saya berpeluang lagi menyertai group kakak saya dan kawan2nya berjalan-jalan ke Tg. Balai, Indonesia. Pucuk dicita ulam mendatang. Memang dah lama saya teringin untuk ke sana. Selalu sangat dengar cerita kawan2 yang selalu ke sana. Apa ada di sana? Itu yang curious sangat nak pergi walaupun belum berapa sihat. Tak sihat? Emmm.... dah seminggu lebih saya demam dan batuk. Batuk yang teruk sekali terutama pada waktu malam. Dah dua klinik saya pergi tapi masih belum sembuh. Hujung tahun... badan pun perlukan rehat dan sakit adalah satu-satunya cara supaya badan boleh berehat.. Tapi macam mana nak rehat, banyak lagi tugas yang perlu saya selesaikan sebelum menjelang sesi persekolahan akan datang uhuk...uhuk.

Berbalik pada cerita saya ke Tg. Balai. Kami menaiki feri jam 8.00 pagi. Tepat jam 8.30 feri bertolak. Keadaan laut agak tenang (saya dah bersiap sedia menelan pil mabuk sejam sebelum tu...takut mabuk sebab dah lama tak naik feri). 5 minit kemudian saya paksa diri untuk tidur sebab tak mau lihat keadaan laut. Tepat jam 9.35 feri yang dinaiki sampai di Jeti tg. Balai, Karimun.
Dalam feri menuju Tg Balai....awal pagi cerialah lagi...
Tidak ada tempat menarik pun untuk dilawati di sini. Kebanyakan yang berkunjung ke sini hanya untuk membeli belah. Bagi sesiapa yang tidak pernah ke Bandung mahupun Jakarta akan beranggapan barang2 yang dijual di sini (khusus made in Indonesia) harganya murah berbanding di Malaysia. Memang benar, sedikit murah berbanding di tempat saya (Ada juga yang lebih mahal). Tapi bagi yang pernah ke Jakarta, barang di sini agak mahal juga. Saya pun taklah terlalu membeli, beli atas dasar sebagai kenang-kenangan telah ke sini. Lagipun keadaan saya yang tak berapa sihat menyebabkan 'window shopping' saya tak berapa seronok.
Satu peristiwa yang tak mungkin dilupa di sini....waktu makan tengahari, sukarnya mencari kedai yang tidak diragui... walaupun dikatakan halal, tapi kebersihannya kurang terjaga. Tekak saya sudahlah kurang berselera (batuk2 menyebabkan saya takut nak makan...takut muntah). Akhirnya kami (hanya saya, kakak dan abang ipar) naik angkutan mencari tempat makan seperti yang dicadangkan oleh seseorang... tambangnya Rp3000 seorang (RM0.90). Sampai di tempat makan, kami pesan soto ayam. Ingatkan samalah macam ditempat kita, rupa-rupanya beza sangat. Mula2 kami diberi nasi. Beria-ia kami kata tak nak nasi. Bila soto sampai... eh ada mihun dan hirisan telur di dalamnya!! Rupa-rupanya itulah soto ayam di Indonesia. Mihun dan telur adalah sebahagian daripada pelengkapnya dan memang dimakan bersama nasi... (itupun saya baru dapat tahu daripada teman saya Nara).

Habis shopping kami kembali ke Jeti. Oleh kerana tak kenyang makan 'soto ayam' kami singgah makan nasi padang. Lepas tu sholat kat Mushola. Aduh! tiada pemisah antara lelaki dan wanita. Terpaksalah ikut pepatah 'masuk kandang lembu menguak...'(eh betul ke?) Yang penting kami dapat tunaikan kewajipan. Mushola pun tak besar sangat hanya lebih kurang 12' x 12'.


Tengah tunggu feri nak balik.... muka dah monyok..penat...
Masa untuk berangkat balik....jam 2.30 waktu Indonesia. Perjalanan balik mengambil masa yang panjang sedikit kerana keadaan laut yang agak bergelora (mujur dapat tidur...). Terasa feri terolang-aling dipukul gelombang. Tiba di Jeti Kukup jam 4.45 petang. Dalam perjalanan balik, singgah pulak makan mee bandung udang kat Rambah. Sedap...!

Ahad, November 16, 2008

Seminar Kesihatan Wanita - ANGKASA


Sabtu 15 November, aku berpeluang menghadiri satu seminar anjuran ANGKASA Johor yang diadakan di Persada Johor. Seminar tersebut membentangkan dua kertas kerja berkaitan kesihatan dan pemakanan wanita, juga perancangan kewangan. Sasarannya adalah seramai 120 orang koperator wanita seluruh Johor. Namun entah dimana silapnya, hanya lebih kurang 40 orang sahaja yang menghadiri seminar ini (termasuk jawatankuasa terlibat). Membazirkan? Bayangkan pihak penganjur menyediakan tempat duduk dan makanan untuk 120, tapi yang hadir hanya 1/3.... Topik yang dibentangkan juga amat menarik. Rasa tak rugi sangat. Walaupun selama ini dah tahu sikit2 tentang cara pemakanan yang betul, melalui seminar ini aku lebih faham cara2 untuk mengatur diet dengan betul. DIET? semua orang selalu beranggapan bahawa diet adalah menyekat makan untuk kuruskan badan. Tidak sebenarnya, diet adalah mengatur pemakanan secara teratur dan terancang mengikut sukatan yang betul. Adalah salah jika kita menyekat diri daripada makan nasi kerana nasi adalah sumber utama untuk tenaga. Kita perlu makan 3 kali sehari dengan jumlah zat yang betul. Makan dengan cara yang betul sebenarnya adalah cara untuk menguruskan badan dengan berkesan. Bukannya dengan langsung tidak makan! Itu adalah sebahagian intipati yang telah aku dapat dalam seminar tersebut...
Selepas itu, ceramah tentang pengurusan kewangan oleh En. Shamsudin Jidin dari Bank Negara Malaysia. Bagaimana kita perlu mengatur kewangan dengan baik. Utamakan simpanan kemudian baru berbelanja ikut keperluan. Cuba minimakan hutang dan rancang aliran penggunaan wang dengan baik. Wah! bagus...bagus. Selepas ini pasti aku akan catat semua yang aku belanja dan apa yang diperolehi. Sebelum ni buat juga, cuma taklah teratur sangat.
Ok! tamat seminar jam 1.30 tengahari... makan time.... ikut diet tak? He...he lauk banyak dan sedap2 belaka. Tapi...amalkanlah makan ikut keperluan. Yahoo...aku berjaya makan hanya secawan nasi dan lauk pauk ikut keperluan....








Khamis, November 13, 2008

Keputusan UPSR & Jamuan ko ko

Hari berganti hari....
Akhirnya keputusan UPSR diumumkan hari ini. . Khabarnya keputusan samada PPSMI diteruskan atu tidak bergantung kepada keputusan UPSR. Ini kerana pelajar tahun enam pada tahun ini merupakan 'pioneer' PPSMI yang dilaksanakan bagi pelajar sekolah rendah 6 tahun yang lalu. Kejayaan PPSMI merujuk kepada mereka yang telah mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya sejak darjah 1 lagi. Berjaya? entahlah. akupun belum mengetahui keputusan sepenuhnya untuk seluruh negara. Lama benar aku ketinggalan menonton berita/buletin utama di TV.

Tak lupa...ucapan Tahniah dan syabas buat anak saudaraku Annur Syazwani yang berjaya memperolehi 5A dalam UPSR. Jangan lupa bahawa kejayaan hari ini hanyalah ujian daripada Allah s.wt. Teruskan berusaha sehingga kejayaan sebenar dicapai kelak dan sentiasalah ingat bahawa segalanya adalah kurniaan Allah semata-mata. Tahniah juga buat guru-guru Sekolah Rendah Agama Bersepadu Pontian kerana berjaya melahirkan 13 orang 5A pada tahun ini. Keep it up. Semoga anda semua akan terus berjaya dan beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.


JAMUAN KO KO
Tamat waktu sekolah kami terus ke jamuan yang dianjurkan oleh unit Ko Ko di Restoran Nelayan, Pontian. Budget seorang RM30. Wow! menunya penuh semeja. Ada kerang rebus, tomyam campur, sotong goreng, udang goreng planta, ayam goreng kunyit, siakap 3 rasa, kailan ikan masin dan ketam black pepper. Disamping itu ada puding sebagai pencuci mulut serta jus oren. Kenyang hingga tak terkata.... Bagaimanapun ada jemputan yang tidak dapat menghadirkan diri atas sebab2 tertentu. Maka banyaklah lauk yang berlebihan. Tapi tak mengapa, ada orang boleh 'tapau' bawa balik. Terima kasih kepada Guru Kanan Ko Ko Encik Ariffin Bajuri kerana sudi menjamu kami. Terima kasih daun keladi, tahun depan belanjalah lagi...

Selasa, November 11, 2008

SPM 2008 Bermula......

Demam SPM bermula lagi...
Buat semua anak didikku "SEMOGA BERJAYA DENGAN CEMERLANG". Semoga sentiasa tenang ketika menjawab soalan peperiksaan...

Rabu, Oktober 22, 2008

Raya oh Raya

Hari ini 22 syawal. Bererti sudah 22 hari kita menyambut hari raya. Tahun ini kurasakan tahun paling best beraya sepanjang 12 tahun aku jadi ckgu. Apa tidaknya aku dan kawan2 (seramai 16 orang!) beraya sakan. Mengalahkan kanak2 berhari raya.



Semalam, 21 oktober kami ada mesyuarat sempena majlis persaraan salah seorang guru juga untuk majlis anugerah kecemerlangan pelajar. Habis mesyuarat kira2 jam 3 kami terus bergerak ke rumah Kak jah Idris (Ketua bidang SS)di Taman Zalina. Kami dihidangkan dengan pizza. Tengah lapar, 2 potong juga aku makan. Selepas itu ke rumah Faridah di Pt. Sikom. Sedapnya soto yang mak dia buat. Macam nak tambah lagi tapi mengenangkan akan ke rumah pengetua, maka aku makan sikit je. Kat rumah pengetua( Bekas pengetua- sebab dia baru pindah ke sekolah lain minggu lalu) kami dijamu dengan mee rebus dan rojak. Aduhai.. perutku dah kenyang benar. Masa tu dah jam 6 petang. Kemudiaan kami berkonvoi pula ke rumah Kak Yati di Taman Barkat. Wah! makan laksa pulak. Hampir nak meletup perutku. Penutup kami ke rumah cikgu ariffin. Aduhai!... bukannya kenyang lagi tapi dah macam ular sawa.. sebaik azan maghrib selesai kami pun beransur...

Rabu, Oktober 15, 2008

Hari Yang Indah...?

Lama betul tak menulis. Hari ini baru terasa rajin nak menulis kembali. Itupun setelah berlaku peristiwa yang aku rasa betul2 memalukan diriku sendiri. Bukannya apa, hari ini aku jatuh tersembam depan koperasi. Dan ketika itu pula pelajar tingkatan 3 sedang menduduki pmr. Aduhai malunya....mujurlah aku jatuh disebalik papan tanda peperiksaan. Kalau tidak, hampir separuh dewan dapat melihatku dengan jelas...

Aku punyalah terperanjat... hai.tak terkata. hanya airmata yang terkeluar. bukannya sakit cuma aku terperanjat betul. Tak sangka. Macam manalah aku boleh jatuh dengan begitu teruk sekali. Rasanya aku dah jalan dengan begitu berhati2 sekali. Tak sangka boleh tergelincir sebelah kaki ke dalam longkang dan buat aku jatuh tersungkur dan tertonggeng. Habis bertaburan buku dan kertas yang kubawa... mujur cermin mata tak pecah.. uhuk-uhuk.

Malam ini, bila kufikir2kan kembali...agaknya inilah balasan sebab aku selalu sangat cakap kat budak2 tentang jatuh longkang! akhirnya aku sendiri yang kena. Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian.

Tak apalah. aku harus berhati2 lain kali. Ada banyak hal sebenarnya yang ingin kutulis, tapi terasa dah letih sangat. Sepanjang minggu ni aku kurang rehat.. entah apa yang membuatku sibuk agaknya tapi memang aku sibuk. Mungkin kerana tugas menyediakan jadual peperiksaan, mencari pengganti guru disamping menyediakan kertas soalan peperiksaan akhir tahun yan harus disediakan dalam masa seminggu ni buat aku letih sangat. Banyak hal yang aku kena fikir....

okeylah sambung lain kali insyaAllah.

Ahad, Jun 22, 2008

Trip to Jakarta

Hai! bertemu lagi kita...sebenarnya aku frust sikit ni. Penat je aku tulis pengalaman terperinci aku semasa trip ke Jakarta tapi dek kerana satu kesilapan, entah tertekan apa, semuanya terpadam. malaslah nak tulis lagi... Bererti, pengalaman itu hanya aku saja yang tahu...


Pun begitu aku nak tulis juga sedikit catatan perjalanan....

Kami bertolak pada hari Sabtu 5 april 2008 jam 10.30 malam dengan AirAsia. Sebenarnya jadual penerbangan telah tertunda. Sepatutnya jam 7.55 dah berlepas. Tiba di Soekarno Hatta Airport jam 11.30 malam waktu Indonesia. (Waktu Indo lewat sejam berbanding M'sia) bererti penerbangan lebih kurang 2 jam. Setibanya di sana telah ada yang menanti ketibaan kami dan terus di bawa ke Hotel Paragon di Jl. Sudirman. (ada pengalaman mengejutkan sewaktu dalam perjalanan - pengalaman yang biasanya hanya ditonton dalam cerita2 Indonesia)



6 April, jam 9 pagi berangkat ke Bandung. Perjalanan mengambil masa 6 jam (sepatutnya hanya 3 jam jika melalaui lebuhraya sepenuhnya) kerana kami di bawa melalaui jalan biasa sebelum memasuki lebuhraya. Pertama kali merasa pengalaman 'macet' di Jakarta. Apa tidak, jalan 2 lorong menjadi 6 lorong! aduh pak! pusing kepalaku. Apapun... semuanya pengalaman gitu.



Tiba di Bandung jam 3 ptg terus dibawa ke lokasi membeli belah barangan kulit. Murah sangat. Tapi kebanyakan kulit adalah kulit sapi. Semuanya hasil tangan penduduk tempatan. Macam industri desalah kalau kat tempat kita. Selepas itu terus dibawa untuk menginap di Hotel Nalendra. Selepas solat (jamak takhirlah gamaknya...) kami bersiar-siar menelusuri kota bandung...hingga tak sedar hari sudah malam...hujan pula. kebasahan dalam hujan hingga ada antara kami yang terjatuh ke dalam longkang! mujur tak lemas. Rancangan nak naik ke Puncak terpaksa dibatalkan kerana semua dah kecapean.


7 April pagi, selepas sarapan kami berangkat ke shopping mall Pekan Baru. Waduh! besar amat. 6 tingkat termasuk 2 tingkat bawah tanah. Penat juga. Barang2 sangatlah murahnya berbanding di Malaysia. Terutamanya pakaian. Memang murah. Berpinar mata melihat macam2 barang yang dijual. Macam nak beli aje satu shopping mall tu bawa balik Malaysia. Tapi.. kenalah belanja secara berhemah... aku pun takdelah beli banyak untuk diri sendiri, cuma beli atas kiriman kawan2. Geramnya tengok pelbagai design telekung, dahlah murah cantik2 pulak. Aduh.... Hingga tak sedar 2 jam berlalu. Usai membeli belah, pulang semula ke hotel. Sebelum tu sempat juga merasa singkong keju. Enak banget bila dimakan panas2.

Setibanya di hotel, kami bergegas bersiap2 untuk check out kerana perlu pulang segera ke Jakarta. Ini disebabkan sebahagian ahli rombongan akan bertolak balik dengan penerbangan jam 6.30 ptg. Perancangan perjalanan akan mengambil masa hanya 3 jam, menjadi 4 setengah jam. Cuak juga dibuatnya. Ini berlaku kerana masalah 'macet' di kota Jakarta. Diberitahu sebahagian jambatan tiga berlaku kebakaran dan satu lorong telah ditutup. Justeru perjalanan begitu mencemaskan. Apakan tidak, jam menunjukkan 5.45 petang dan bas yang kami naiki masih ditengah kota sedangkan sudah sepatutnya check in untuk penerbangan. Sepanjang perjalanan yang mencemaskan itu (tapi tidak bagi aku dan teman2 yang baru tiba kemarin), aku yang duduk di tepi tingkap sempat melihat 'pemandangan' sepanjang perjalanan. Nampaknya apa yang selama ini ditonton tv, dapat dilihat secara live, macammanalah tidak terbakar, kulihat dibawah jambatan begitu banyak pondok2 didirikan sebagai tempat penginapan, malahan ada yang sengaja menebuk tiang konkrit jambatan untuk dijadikan tempat menginap. Tak cukup dengan itu, selain rumah, gerai makan juga ada. Kasihan kan. Sukarnya mereka mencari tempat penginapan. Namun masih ramai kulihat yang tidur bergelandangan di merata tempat dengan hanya beralaskan kotak atau surat khabar. Asyik melihat keadaan kota Jakarta, akhirnya dengan kecekapan pemandu kami sampai jua di Bandara (Bandar Udara) Soekarno Hatta tepat jam 6.15 ptg. Alhamdulillah harap mereka sempat menaiki penerbangan. (akhirnya diketahui flight berkenaan delayed hingga jam 8.30 mlm). Kami kembali semula ke Hotel Paragon dalam keadaan yang sangat letih.

8 April, selepas sarapan kami bertolak Tanah Abang dengan menaiki 'bajai'. Ia merupakan kenderaan roda tiga. Mungkin sebuah motosikal vespa yang diubahsuai. Maksimum penumpang cuma 3 orang. Dalam keadaan macet kota Jakarta, adalah lebih menjimatkan menaiki bajai berbanding teksi biasa. Selain cepat, tambangnya juga murah. Tanah Abang adalah nama shopping mall terkenal diJakarta yang menjual barangan grosir. Barangan murah2 tapi kebanyakannya kita perlu beli minima 4 atau 6 barang bagi setiap jenis. Contoh, kalau nak beli blouse, kita perlu beli sebanyak 6 pasang (boleh berlainan warna, tapi saiz yang sama). Kami di sini selama 3 jam. Jam 1 balik ke hotel untuk bersiap sedia kerana hari ini kami akan pulang ke Johor. Setelah selesai, kami check out jam 2.30 petang. Kami harus segera ke Bandara kerana takut macet seperti semalam. Bagaimanapun, alhamdulillah keadaan hari ini tidak seteruk semalam kerana mungkin kami keluar lebih awal. Kami sampai di Bandara jam 4.00 petang. Sementara menanti penerbangan jam 6.30 petang, kami bersiar-siar sahaja di Airport.

Okey.... itu saja catatan perjalananku....jumpa lagi.



Khamis, Januari 31, 2008

Puisi Hari

Hari...
Disaat aku tak mungkin lari dari hujan,
saat itulah aku mesti pasrah menerima
semua jejak yang hilang dalam genangan,
semua jejak yang kabur dalam siraman.
Mungkin suatu saat aku mesti berhenti dan berteduh
untuk kemudian melanjutkan langkah kembali
mencermati semua jejak,
mempelajari semua torehan.
Membuatku ingin membangun perahu hidup lebih kukuh
untuk menerjang segala ombak di lautan....


Terima kasih kepada penulis puisi tersebut. Puisi ini benar-benar membawaku ke alam realiti bahawa aku perlu mengambil iktibar apa yang telah berlaku dan melangkah terus menuju destinasi.
2007....,
di saat aku 'hilang arah' ketika bertungkus lumus menyiapkan tesis sarjana, di saat aku hilang punca dan putus asa, puisi ini muncul dalam mail box ku. Melaluinya kurenungi diri memikirkan apa sebenarnya yang kuperlu. Dan akhirnya... segala kepayahan membuahkan kejayaan.

Buat semua anak didikku,
usah cepat putus asa. hidup tak seindah mimpi, bangkitlah dan jadikan impian itu satu KENYATAAN.

Ahad, Januari 27, 2008

Kenangan Terindah

Impian jadi kenyataan... sekian lama ingin memiliki blog sendiri akhirnya menjadi kenyataan hari ini.... semoga dapat dimanafaatkan.



Sesungguhnya hidup ini adalah perjuangan, tanpa menyedari dan mengetahui apa yang bakal berlaku esok hari kita harus tempuhi perjalanan dengan harapan akan menemui sinar yang diingini.



Kenangan semalam ........apapun yang telah berlaku anggaplah sebagai satu pengajaran yang amat berharga dan berguna sebagai panduan dan teladan menghadapi hari-hari mendatang. Andai tersasar membuat pilihan usah dikesal kerana pasti ada rahmat disebalik apa yang telah ditentukanNya.. Yang perlu, ketabahan dan kesabaran dalam meniti jejak-jejak kehidupan.



Bila yang tertulis untukku

adalah yang terbaik untukmu

kan kujadikan kau kenangan yang terindah dalam hidupku

namun takkan mudah bagiku

meninggalkan jejak hidupmu

yang telah terukir abadi

sebagai kenangan yang terindah

Februari datang lagi...

Assalamualaikum wrt. wbt.



Impian sejak sekian lama untuk mempunyai blog sendiri akhirnya menjadi kenyataan hari ini. Sebenarnya banyak yang hendak dicoretkan sebagai luahan rasa hati. Bila sendirian pelbagai kenangan menghampiri...namun untuk diluahkan terkadang meruntun hati.



Hidup ini perjuangan...kita tidak berupaya mengetahui apa yang bakal berlaku esok hari. Terkadang kita berfikir bahawa apa yang dilalui amat getir. Pelbagai cubaan dan dugaan menghampiri. Terasa diri amat tidak beruntung sekali tanpa menyedari bahawa ada insan lain yang lebih 'menderita' daripada kita. Syukurilah nikmat yang diberi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...